Total Pageviews

Thursday 22 March 2012

5 Penjaring Terbanyak Piala Dunia Sepanjang Zaman

Bermain,menjaringkan gol dan memenangi Piala Dunia FIFA adalah impian setiap pemain bola sepak profesional di seluruh dunia.Bagaimanapun,hanya yang benar-benar bertuah dan berbakat sahaja yang dapat merasainya.Berikut ialah lima penjaring gol terbanyak Piala Dunia sepanjang zaman.

1.RONALDO(BRAZIL/15 GOL)
Tiada siapa yang dapat meragui bakat Ronaldo dalam menjaringkan gol dan jika tidak kerana mengalami beberapa siri kecederaan lutut,dia mungkin masih kekal bermain.Ronaldo memang cukup hebat di pentas Piala Dunia,dia memenanginya sebanyak dua kali(1994,2002) dan muncul penjaring terbanyak kejohanan(2002) serta pemain terbaik(1998).Pada Piala Dunia 2006 di Jerman,dia mengatasi rekod 14 gol Gerd Muller dan mencipta rekod baru 15 gol.Dia hanya bermain 18 perlawanan untuk mencipta sejarah tersebut,membuktikan mengapa dia dianggap sebagai pemain terbaik pernah dilahirkan Brazil selepas Pele.

2.MIROSLAV KLOSE(JERMAN/14 GOL)
Striker Jerman kelahiran Poland ini memenangi kasut emas pada 2006 apabila menjaringkan lima gol,jumlah sama yang dijaringkannya pada tahun 2002.Di Afrika Selatan pada 2010,Klose menjaringkan empat gol untuk meletakkannya di belakang Ronaldo dan berkongsi rekod dengan Gerd Muller sebagai pemain Jerman paling banyak menjaringkan gol di Piala Dunia.Hanya Klose seorang sahaja yang berjaya menjaringkan sekurang-kurangnya empat gol dalam tiga edisi Piala Dunia berbeza dan menjaringkan lima gol dalam dua edisi Piala Dunia secara berturut-turut(berkongsi dengan Teofillo Cubillas)

3.GERD MULLER(JERMAN/14 GOL)
Gerd der Bomber ialah striker paling prolifik dalam sejarah bola sepak Jerman.Dia menjaringkan 10 gol di Piala Dunia 1970 dan 4 lagi di kejohanan 1974.Ini menjadikan Muller sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia sepanjang masa untuk 32 tahun sebelum Ronaldo memecahkannya pada 2006.Muller masih kekal sebagai penjaring gol terbanyak Jerman sepanjang zaman dengan rekod 68 gol dari 62 penampilan.Muller dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Eropah pada tahun 1970.

4.JUST FONTAINE(PERANCIS/13 GOL)
Sehingga hari ini atau dekad seterusnya,mustahil untuk melihat mana-mana pemain mengatasi rekod Just Fontaine di Piala Dunia.Dia menjaringkan 13 gol dalam hanya enam perlawanan di kejohanan 1958,satu pencapaian yang amat luar biasa.Karier Fontaine bagaimanapun tidak bertahan lama apabila dia terpaksa bersara pada usia 28 tahun kerana kecederaan.Dia juga memiliki rekod gol yang menarik untuk Perancis,menjaringkan 30 gol dalam 21 penampilan.

5.PELE(BRAZIL/12 GOL)
Raja bola sepak ini menjadi masyhur apabila memenangi Piala Dunia 1958 pada usia 17 tahun dan berjaya menjaringkan lima gol.Pele turut menjulang kejuaraan ini pada 1962 dan 1970,menjadikannya pemain tunggal yang pernah memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali.Dia kekal sebagai penjaring terbanyak Brazil sepanjang zaman dengan rekod 77 gol dalam 92 penampilan.Sepanjang kariernya,Pele telah merekodkan 1152 gol dalam 1220 perlawanan.Satu pencapaian yang cukup hebat!!!


No comments:

Post a Comment